SIRI S.U.3 - SECRET RECIPE
Bagi golongan sederhana di Malaysia (sekitar Kuala Lumpur terutamanya), hari ulang tahun kelahiran anda pasti tidak lengkap disambut tanpa kek Secret Recipe. Antara yang sering menjadi pilihan sudah tentulah Chocolate Banana dan juga Secret Indulgence. Jika dahulu, anda pasti teringin pulang ke Malaysia setiap kali hari ulang tahun kelahiran anda. Namun, kini sudah tidak perlu lagi memandangkan Secret Recipe telah membuka cawangan pertamanya di bumi Melbourne.

Sempena hari ulang tahun kelahiran rakan kepada krew KEMAM, krew KEMAM telah mengembara ke Secret Recipe untuk membeli kek. Niat asalnya memang hendak membeli kek, namun, seperti biasa menjadi terpesong apabila menjejakkan kaki ke dalam kedai ini. Sebuah kedai yang besar, kemas dan bersih. Dengan layanan yang baik, kami bertiga dipersilakan duduk di meja. Kami ditegur oleh saudara Ming, seorang Malaysia yang menjadi pemilik kedai ini.

Dengan menu yang sama seperti di Malaysia, kami tidak menghadapi masalah untuk memilih. Penulis yang sebenarnya baru pertama kali menjejakkan kaki di Secret Recipe (di Malaysia pun tidak singgah) hanya mengikut sahaja apa saranan rakan penulis. Sepotong kek Chocolate Banana dan semangkuk Singapore Curry Laksa dikongsi kami bertiga.

Kami mengambil peluang untuk berbual dengan Ming, pemilik restoran ini. Beliau mengatakan restoran ini dalam proses untuk mendapatkan sijil halal. Restoran ini tidak menghidangkan babi dan sedang dalam proses untuk mencari pembekal daging halal. Jadi, makanan berasaskan daging di restoran ini masih belum halal lagi. Selain itu, beliau juga turut mengatakan promosi secara besar-besaran restoran ini akan dimulakan pada 28 februari.
Dengan senarai harga sama seperti di Malaysia melainkan keknya (di Malaysia, sepotong kek berharga rm7 dan sebiji kek berharga rm70, di Melbourne sepotong kek berharga $5.50 dan sebiji kek berharga $45), anda bolehlah menilai sendiri harga makanan di sini. Yang pasti, bahagian makanannya sama besarnya seperti di Malaysia. Krew KEMAM mencadangkan restoran ini dilawat apabila anda dalam keadaan stres dan memerlukan ketenangan memandangkan restoran ini cukup tenang dan mendamaikan.

Restoran Secret Recipe dibuka dari jam 7 pagi hingga 11 malam, 7 hari seminggu. Restoran ini terletak di 247 Chapel Street, Prahran VIC 3181 dan boleh dihubungi di talian 03 9533 8841 serta laman webnya http://secretrecipeaustralia.com/ . Bagi yang menaiki tram, boleh menaiki tram nombor 6 (Glen Iris) dan 72 dan turun di Chapel Street. Sebelum terlupa, restoran ini terletak berhampiran dengan Swinburne University cawangan Prahran justeru krew KEMAM meletakkan restoran ini dalam siri S.U.



















